BINTULU: Hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 bakal menanti pemenang ‘Bintulu Tourism Surfcasting Challenge’ di sini pada 20 November depan.
Program anjuran Persatuan Penggerak Pelancongan Bintulu ini akan diadakan di sepanjang persisiran, tebingan Promenade Bintulu.
Pengerusinya, Ismawi Ishak berkata pemilihan lokasi tersebut kerana ia merupakan kawasan yang mempunyai tebing bersesuaian untuk aktiviti memancing serta mempunyai kemudahan akses yang baik ke tapak penganjuran.
“Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai berjumlah 20,000, naib juara, RM5,000 manakala pemenang tempat ketiga RM3,000.
“Pemenang keempat akan menerima RM1,500 dan kelima RM1,000. Bagi pemenang di tempat keenam hingga ke-100 akan menerima RM100,” katanya pada sidang media di Riverfront Café, hari ini.
Menurut beliau lagi, pihaknya menyasarkan sekitar 500 hingga 700 penyertaan dengan yuran sebanyak RM100 bagi setiap joran, RM120 bagi pendaftaran lewat, manakala RM150 bagi pakej baju termasuk yuran penyertaan.
“300 peserta terawal akan menerima sehelai baju-T percuma. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 19 Novembdr depan,” ujarnya
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang pertandingan daripada Sekretariat Persatuan Penggerak Pelancongan Bintulu, Abdul Rahman Ibrahim (017-8674467), Bibi Anisha (011-51788358), Kazimah (016-5584856) atau layari laman Facebook Persatuan Penggerak Pelancongan Bintulu.
Turut diadakan simbolik penyerahan replika cek bernilai RM40,000 kepada Pengarah Operasi MASA Empire Sdn. Bhd., Abdul Rahman Ibrahim dengan disaksikan Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Hussaini Hakim.