RM464.9 juta bangunkan Bukit Saban

SPAOH: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM464.9 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Dun Bukit Saban.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, ini menunjukkan kerajaan pemerintah sebagai cukup prihatin terhadap rakyat di luar bandar termasuk di Dun Bukit Saban.

“Antara projek utama ialah pembinaan lapangan terbang landasan pendek di Bebuling bernilai RM108.1 juta – yang akan menjadi mercu tanda utama dan kebanggaan rakyat di sini.

“Selain itu, projek menaik taraf jalan dari Saka ke Paku (RM116 juta) dan membangunkan Taman Pertanian Spaoh di Bebuling dengan kos RM50 juta,” katanya.

Menyentuh isu lapangan terbang pendek Bebuling, Uggah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak.

“Kita di Spaoh tidak pernah bermimpi akan memiliki lapangan terbang. Malah ramai yang tidak percaya.

“Namun atas sikap murah hati Abang Johari, yang memahami keperluan kawasan luar bandar untuk membangunkan negeri, projek lapangan terbang direalisasikan,” ujarnya.

Beliau berharap rakyat terus bersatu demi memastikan kemenangan besar GPS pada PRN-12 nanti. Beliau bercakap demikian ketika Majlis Lawatan Kerja Janji Ditepati Abang Johari ke Daerah Kecil Spaoh, semalam.

Suara Sarawak