SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM5 juta melalui Jawatankuasa Perunding Sekolah Cina Sarawak bagi melengkapkan sekolah rendah bantuan Cina di seluruh negeri dengan kemudahan bilik darjah pintar.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata peruntukan itu turut digunakan untuk menyediakan bahan rujukan elektronik bagi subjek Matematik dan Sains bagi membantu murid yang akan beralih dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
“Sebanyak 369 bilik darjah di seluruh Sarawak akan dinaik taraf menggunakan dana ini.
Inisiatif ini bertujuan memupuk minat murid sekolah Cina terhadap pembelajaran sains dan teknologi.
Kemudahan bilik darjah pintar yang lebih interaktif, menarik dan berasaskan penggunaan internet dapat meningkatkan mutu pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bilik darjah pintar kepada empat sekolah rendah bantuan Cina di sekitar Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Empat sekolah yang menerima fasiliti tersebut ialah SJKC Kiew Nang, SJKC Dung Sang, SJKC Su Lai dan SJKC Kiang Hin, melibatkan 68 buah bilik darjah untuk dinaik taraf pada fasa berkenaan.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, penggunaan kemudahan interaktif itu merupakan langkah penting untuk memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan kepada murid sekolah.
“Penyaluran dana tersebut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan keadilan bantuan pendidikan dengan memberikan sokongan sama rata kepada sekolah arus perdana dan sekolah bantuan Cina,” ujarnya. — TVS





