RM5 juta untuk sistem perparitan moden

SARIKEI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan RM5 juta untuk membina sistem perparitan yang lebih moden dan sistematik demi manfaat penduduk di Kampung Tepi Laut Belawai.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan projek yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk itu dijangka bermula sama ada April atau Mei ini.

Usaha itu katanya, bakal mengakhiri penduduk Kampung Tepi Laut Belawai yang sering berdepan masalah limpahan air terutama pada musim tengkujuh.

“Kerajaan GPS tidak bercakap kosong sebaliknya sentiasa melakukan pelbagai demi manfaat rakyat di Dun Kuala Rajang. “Projek ini merupakan inisiatif penting bagi mengelak berlakunya kejadian air bertakung sehingga menjejaskan aktiviti penduduk setempat,” katanya selepas mengadakan tinjauan di tapak projek itu pada Rabu.

Lawatan itu turut disertai Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab. Dalam perkembangan berkaitan, Ir Yusuf memperuntukkan RTP sebanyak RM500,000 bagi membantu pelaksanaan fasa pertama projek terbabit.

Sehubungan itu, Len Talif menggesa kerjasama penduduk bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar. “Projek ini membuktikan kerajaan mendengar keluhan rakyat dan sentiasa mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan nasib mereka terbela,” katanya.

Dalam siri lawatan turun kerja itu, kedua-dua pemimpin berpeluang mendengar taklimat Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Bahagian Mukah, Mohd Adzim Friddy. Hadir sama Penghulu Kalali Klen, Ketua Kaum dan Kapitan Kampung Belawai.

Suara Sarawak