ARTIKEL

RM5,000 peruntukan kepada JKKK tingkat program komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SERIAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memperuntukkan sejumlah RM5,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berdaftar menjelang tahun hadapan.

Timbalan menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, inisiatif terbabit bagi memastikan setiap JKKK meneruskan program pembangunan di kawasan masing-masing dengan lebih berkesan.

“Dalam Belanjawan Negara 2024 telah ditambah lebih RM500 juta untuk mengaktifkan semua JKKK berdaftar di bawah KKDW.

“Mereka akan diberi dana RM5,000 untuk memastikan program aktiviti kampung dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Desa Cerdas di Dewan Kampung Sungai Turong, hari ini.

Menurut Rubiah, dana tersebut akan disalurkan selepas melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu berdaftar dan mendapat rekod pelaporan baik daripada Pejabat Daerah masing-masing.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan usaha itu antara bukti komited KKDW terhadap pembangunan luar bandar secara lebih terperinci.

Mengenai program desa cerdas anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), ujarnya ia berperanan merapatkan lagi hubungan dan komunikasi antara JKKK, ketua kampung sama ada dengan agensi kerajaan, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

Program Desa Cerdas pada asasnya bertujuan sebagai salah satu cara menyampaikan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat terhadap kehidupan sihat, selamat dan sejahtera.

Antara pengisiannya ialah ceramah keselamatan dan demontrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ceramah ‘scammer alert’ dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Balai Polis Padawan serta pemeriksaan kesihatan percuma dari Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN).

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU