RM7.6 juta untuk GETS 4.0

KUCHING: Peruntukan sebanyak RM7.6 juta akan disediakan tahun depan untuk program Latihan Peningkatan Graduan Sarawak (GETS) 4.0.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan ini akan memanfaatkan sekitar 400 orang siswazah.

“Ini adalah latihan selama 12 bulan di tempat kerja untuk siswazah memperoleh kemahiran yang berkaitan dengan industri dan meningkatkan kebolehkerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM67 juta akan disediakan tahun depan untuk Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

Katanya ia sebagai usaha kerajaan Sarawak untuk membangunkan tenaga kerja teknikal yang sangat terlatih untuk memenuhi permintaan dari industri seperti minyak dan gas, elektrik dan industri mekanikal serta banyak lagi.

Menurut Abang Johari, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM261 juta untuk meningkatkan serta mewujudkan cawangan baharu CENTEXS iaitu di Kuching, Lundu, Betong, Dalat dan Lawas.

Suara Sarawak