
SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM79 juta bagi melaksanakan tiga fasa projek benteng hakisan di kawasan Simunjan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini memang terdapat projek benteng hakisan sungai telah dilaksanakan di sini tetapi ia berhadapan dengan masalah kerosakan (roboh).
“Melihat kepada masalah ini, saya telah minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan satu kajian untuk mengelakkan masalah benteng roboh itu berulang.
“Kajian yang dilakukan oleh jurutera ini sangat teliti dan akhirnya kita memutuskan untuk membina benteng secara menyeluruh di kawasan Simunjan melibatkan peruntukan berjumlah RM79 juta dengan tiga fasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Esplanad Simunjan, dekat sini, hari ini.
Tambahnya, peruntukan untuk pelaksanaan projek benteng sungai itu juga telah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).
“Justeru, fasa pertama untuk pembinaan projek tersebut akan bermula enam bulan dari sekarang dan saya sendiri akan datang ke Simunjan enam bulan lagi (untuk melihat perkembangan projek).
“Satu lagi projek benteng hakisan di masukkan di bawah JPS adalah di kawasan Kampung Sageng, Simunjan dan ia menelan kos kira-kira RM30 juta,” ujarnya.