Robert Lau dilantik senator

SIBU: Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Robert Lau Hui Yew adalah antara tiga rakyat di negeri ini yang akan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Dua lagi ialah Rita Sarimah Patrick Insol dan Susan Chemerai Anding turut dilantik senator.

Lau sekarang kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).

Menurut sumber yang boleh dipercayai, ketiga-tiga mereka akan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 22 Jun ini.

Lau dilahirkan di Sibu dan pernah berkhidmat sebagai ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) ataupun Kaunselor dari 2004- 2013.

Beliau berusia 55 tahun dan merupakan seorang peguam.

Ketika dihubungi (Selasa), Lau bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan mengenai perkara tersebut.

“Maaf, saya tidak mahu komen apa-apa. Terima kasih,” jawabnya ringkas kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada tahun 2018 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis perhimpunan politik di Sibu telah mencadangkan Lau dilantik sebagai Senator kepada Presiden SUPP Dato Sr Dr Sim Kui Hian sebagai mewakili suara Sibu di parlimen berikutan Sibu tiada mempunyai wakil rakyat dari blok kerajaan (ketika itu kerusi Parlimen Sibu dan Lanang diwakili oleh pembangkang).

Malangnya, blok kerajaan ketika itu iaitu Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU14 yang menyebabkan cadangan itu terkubur.

Lau juga pernah menjadi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu pada tahun 2010 berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew yang merupakan sepupunya tetapi tewas kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika itu, Richard Wong Ho Leng.