ARTIKEL

Rodney Celvin semasa sesi latihan menjelang perlawanan Liga Super menentang Melaka di Padang MMU Melaka, semalam. Foto: Kuching City FC

Rodney Celvin kembali sertai latihan KCFC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kembalinya Rodney Celvin menyertai sesi latihan Kuching City FC (KCFC) di Melaka semalam merupakan perkembangan positif menjelang pertemuan Liga Super 2026-2027 menentang Melaka FC di Stadium Hang Jebat, malam ini.

KCFC memerlukan barisan terbaik bagi menghadapi Melaka FC, terutama selepas mengharungi jadual padat membabitkan Liga Super dan Piala FA.

Rodney sebelum ini terlepas sesi latihan terakhir sebagai persiapan pasukan, namun kehadirannya dalam sesi latihan berkenaan memberi bayangan bahawa beliau semakin pulih daripada kecederaan yang dialami ketika menjalankan tugas bersama skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, keputusan sama ada tonggak pertahanan itu diturunkan dalam kesebelasan utama atau disenaraikan sebagai pemain simpanan bergantung pada penilaian akhir barisan kejurulatihan.

Rodney mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir pertama Piala AFF Hyundai 2026 menentang Vietnam pada 16 Ogos lalu selepas bertembung dengan pemain lawan sehingga terpaksa dikeluarkan pada awal perlawanan.

Akibat kecederaan itu, beliau terlepas aksi timbal balik menentang Vietnam, selain beberapa perlawanan bersama KCFC termasuk Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dan Sabah FC serta aksi Piala FA menentang KRW FC.

Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak, sebelum ini mengesahkan Rodney dan Jimmy Raymond terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

“Bukan lagi rahsia, kedua-dua cedera ketika bersama skuad kebangsaan. Dalam tempoh singkat satu atau dua hari ini, mereka pasti tidak sempat cergas sepenuhnya dan sah terlepas perlawanan menentang JDT,” katanya sebelum ini.

Selepas perlawanan menentang Melaka FC, KCFC dijadualkan berlepas ke Kemboja pada 14 atau 15 September bagi menghadapi Phnom Penh Crown FC dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pada 17 September.

Rodney sebelum ini menyatakan hasrat untuk terus memperbaiki prestasi selepas membantu skuad negara meraih dua kemenangan berturut-turut dalam kempen Piala AFF Hyundai 2026.

“Bagi saya, saya belum berpuas hati kerana ini adalah aksi pertama saya di Piala AFF Hyundai 2026, jadi banyak lagi yang perlu diperbaiki. Tetapi rakan sepasukan banyak memberi sokongan dan kerjasama sepanjang kem ini.

“Jadi, ini memudahkan lagi kerja saya untuk memahami situasi di dalam padang bagi aksi antarabangsa,” katanya.

Beliau turut berharap prestasi yang ditampilkan dapat membantunya merebut tempat dalam skuad ke Piala ASEAN FIFA 2026.

“Secara peribadinya, sudah semestinya saya mahu dipilih sebagai pemain. Jadi, kita tunggu sahaja bagaimana keputusan jurulatih nanti.”

BERITA LAIN

BERITA TERBARU