KUCHING: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan di sebuah hotel, tujuh tahun lalu.
Hakim Marutin Pagan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh yang berusia 31 tahun selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasah di akhir kes pembelaan hari ini.
Namun demikian, Marutin membenarkan penangguhan hukuman tertuduh sementara menunggu rayuan kes ke Mahkamah Tinggi serta membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM8,000 beserta seorang penjamin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang juga merupakan teman wanitanya di sebuah hotel di Jalan Abell, sekitar jam 2 pagi hingga 3 pagi, 31 Ogos 2016.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Abdul Rahman Hazmi memohon agar diberikan bon berkelakuan baik dengan alasan hukuman penjara yang dikenakan akan memberi kesan dan menjejaskan kehidupan tertuduh termasuklah pekerjaannya.
Selain itu, tertuduh yang masih bekerja sebagai penjawat awam tidak mempunyai sebarang rekod keganasan atau kesalahan seksual serta tidak pernah terlepas daripada menghadiri prosiding di mahkamah.
Selain daripada itu, fakta kes yang ditunjukan oleh pihak pendakwa juga tidak menunjukkan tertuduh merancang kejadian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi menegaskan bahawa mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat memandangkan tertuduh merogol mangsa bawah umur selain mengambil kesempatan semasa mangsa dalam keadaan mabuk.
Norshafatihah menerangkan bahawa kejadian itu menyebabkan trauma kepada mangsa selain hukuman bon berkelakukan baik adalah tidak terpakai untuk kesalahan seksual.