Rohingya: Kita perlu buat perhitungan secara bijak, kata Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, menerima pendatang ialah tindakan kemanusiaan sementara dan terhad yang wajib ditanggung secara bersama-sama oleh masyarakat antarabangsa mengikut piagam antarabangsa, bukan negara Malaysia sahaja.

Katanya beliau, langkah sebenar adalah menghalang penghapusan etnik dan tindakan memaksa rakyat Rohingya kerana faktor agama dan kaum, bukannya menghalalkan tindakan Myanmar dengan membuka pintu untuk terus dihalau dan dijadikan pelarian secara terbuka seolah-olah memudahkan tindakan yang salah itu.

“Dalam masa yang sama, perlu diambil tindakan supaya penduduk Rohingya kembali semula ke tanah air asal mereka, bukannya tindakan terbuka yang kekal menjadi pelarian tanpa tempoh dan sempadan, seperti memberikan kemudahan supaya terus dihalau atau melarikan diri tanpa tindakan yang sebenarnya dan Malaysia dijadikan transit, seterusnya menyerahkan tanah air kepada rejim yang zalim itu,” katanya dalam satu kenyataan di sebalik naratif kebencian yang berlegar di media sosial di negara ini terhadap etnik Rohingya.

Untuk rekod, pada 1978 kerajaan junta telah melancarkan Operation Dragon King untuk di wilayah Rakhine untuk membanteras orang Rohingya secara kekerasan kerana mereka dianggap sebagai pendatang asing. 

Lebih 200,000 orang Rohingya terpaksa lari ke negara jiran iaitu Bangladesh untuk mendapatkan perlindungan.

Rohingya tidak diiktiraf sebagai wargenagar oleh kerajaan Myanmar dan sekitar 800,000 daripada mereka menjadi pelarian di Cox Bazaar, Bangladesh selepas tentera melancarkan serangan pada Ogos 2017.

Selain Bangladesh, ramai orang Rohingya menjadi pelarian di  Pakistan, Arab Saudi, India,  UAE,  Thailand, Indonesia dan Malaysia. 

Dianggarkan sekitar 150,000 orang Rohingya di negara ini.

Jelas beliau, PAS bersama BN dalam menangani isu pelarian Rohingya, walaupun pada ketika itu PAS berada di petak pembangkang dan BN ada suara tersendiri di atas prinsip agama dan kemanusiaan.

“Ini tidak sama seperti PH yang hanya kedengaran suara Tun Mahathir keseorangan di mimbar PBB, tetapi PH lebih sibuk menghadapi krisis dalamannya kerana menanti Tun Mahathir meletakkan jawatan,’ katanya lagi.

“Kita perlu membuat perhitungan secara bijak, kerana dalam kalangan Rohingya ada yang benar-benar berjuang, maka wajib disokong perjuangan mereka untuk menuntut hak kemanusiaan, kerakyatan dan beragama,” tegasnya.

Menurut Abdul Hadi, ada juga kumpulan yang tidak peduli dengan apa yang berlaku, hanya sekadar mahu menyelamatkan diri sahaja. 

“Bahkan ada juga yang mencari kesempatan sehingga menimbulkan masalah sosial dan keselamatan kepada negara penerima.

Di samping itu, ada negara yang bertindak untuk dirinya sahaja tanpa mempunyai perikemanusiaan, lalu bertindak tidak berperikemanusiaan pula,” katanya.

Maka, katanya,  langkah terkini yang diambil oleh pihak keselamatan menyampaikan bantuan bekalan sepatutnya, di samping menghalang bahtera pelarian masuk ke dalam negara dalam suasana seluruh dunia diserang bencana wabak Covid-19 adalah perkara yang sewajarnya.

“Tindakan itu mengambil kira aspek kemanusiaan dengan menghulurkan bekalan, dan menghalang dengan bersopan kerana maslahat menjaga keselamatan negara,” kata pemimpin PAS itu lagi.