Rokok dan minuman keras tanpa cukai berjaya dirampas di Miri

MIRI: Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menemui rokok dan minuman keras pelbagai jenis disyaki tanpa cukai bernilai RM260,569.20 di stor simpananan barang sebuah premis berhampiran Jalan Dato Permysuri Permyjaya, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Sup Tan Hiap Seng berkata, serbuan terus dijalankan ke lokasi pada jam 12 tengah hari hasil maklumat risikan Ops Libas.

Menurutnya, seramai 10 anggota Risik termasuk pegawai telah membuat pemeriksaan dan menjumpai sejumlah rokok dan minuman keras tanpa cukai disimpan di dalam stor terbabit.

“Pemeriksaan awal menemui rokok putih sebanyak 192,400 batang, rokok kretek 109,360 batang, 77 kotak minuman keras jenis Tin dan 35 kotak minuman keras jenis botol ditemui di dalam stor tersebut.

“Kesemua rokok dan minuman keras yang ditemui merupakan barangan tanpa cukai,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, seorang lelaki berusia 31 yang mengaku sebagi penjaga premis tersebut telah ditahan.

Susulan itu, katanya, kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke balai polis pusat Miri untuk tindakan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

 

RAMPAS… 311,960 batang rokok dan 112 kotak minuman keras pelbagai jenis dirampas.

Suara Sarawak