Rokok seludup bernilai RM132,640 dirampas

LUNDU: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am Kuching berjaya menjumpai rokok seludup bernilai RM132,640.00 di dalam dua buah kereta di kawasan penjaja gading, pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching Supt Rosdi Inai berkata, operasi serbuan dijalankan oleh pasukannya pada 3.30 petang hasil risikan terdahulu dan maklumat yang diperolehi terhadap aktiviti tersebut.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 43 tahun turut ditahan setelah mengaku sebagai pemilik kedua-dua kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dalam kedua-dua kenderaan berkenaan menjumpai sebanyak 416 kotak rokok jenis kretek putih disembunyikan milik suspek.

“Kita percaya kesemua rokok itu telah diseludup daripada negara jiran untuk dipasarkan ke negara tempatan,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, kesemua barang rampasan termasuk kedua-dua kenderaan terbabit berjumlah RM202,640.00 telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Lundu untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dedah Rosdi, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan kepada masyarakat untuk memberikan kerjasama kepada pihaknya khususnya PDRM bagi mengawal aktiviti penyeludupan atau apa jua perlakuan jenayah.

Suara Sarawak