Rokok tanpa cukai bernilai RM7592 dirampas

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebanyak 37,960 batang rokok tidak bercukai di dalam sebuah premis Blok D Taman Sri Sarawak, Jalan Bukit Mata Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata serbuan dilakukan pasukan khas yang diketuai Ketua Balai Polis Sentral ASP Ahmad Abang sekitar jam 9.40 malam.

Suspek katanya yang ditemui di dalam premis mengaku sebagai penjaga premis ketika serbuan dijalankan.

SEMBUNYI…Rokok pelbagai jenis yang ditemui disembunyikan di bawah rak barang-barang jualan.

“Hasil daripada pemeriksaan ketika serbuan menemui sebanyak 37,960 batang rokok disyaki tidak bercukai pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM7,592.00.

“Penjaga premis terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan sebelum tindakan rampasan barangan itu dibuat untuk tindakan siaaatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat dibawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau selain itu mendedahkan tujuan asal serbuan sebenarnya adalah untuk membenteras judi namun berjaya mengesan penjualan rokok haram.

Tambahnya, semua Ketua Polis Balai kini dikerahkan untuk aktif dalam mencari maklumat berkaitan judi haram dan mengambil tindakan terhadap kegiatan judi di sektor Balai masing-masing.