LANGKAWI: Pengeluar kereta terkenal Britain, Rolls-Royce berminat menjalin kerjasama dengan Sarawak dalam membangunkan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, hasrat Rolls-Royce itu diluahkan kepadanya semasa perbincangan antara kedua-dua pihak baru-baru ini.
Malah katanya, syarikat itu juga berhasrat ke Sarawak untuk melihat sendiri pengeluaran dan penggunaan SAF.
“Saya sendiri berjumpa dan berbincang dengan Rolls-Royce dan mereka menunjukkan minat.
Jadi, mereka mahu melihat sendiri proses pengeluaran SAF di Sarawak.
“Oleh itu, saya akan berbincang dengan pihak kita di Sarawak khususnya Premier kita Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai perkembangan baik ini.
“Terdapat banyak minat apabila Sarawak mengeluarkan SAF dan ia dilihat sebagai satu langkah ke hadapan untuk masa depan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ketika melawat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), baru-baru ini.
Hasbi berkata, walaupun harga SAF masih mahal ketika ini, ia akan menurun selepas pengeluarannya diperluaskan nanti.
“Penglibatan dalam industri ini menunjukkan Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga hijau yang mampan serta menerajui usaha mengurangkan pelepasan karbon pada 2050 seperti yang digariskan dalam Perjanjian Paris,” katanya.