Rompak di Simunjan, sembunyi di Batu 12

SIMUNJAN: Seorang lelaki akhirnya ditangkap walaupun bersembunyi di sebuah kampung di Batu 12, Jalan Puncak Borneo selepas melakukan jenayah pecah rumah di sini.

Suspek berusia 23 tahun itu dicekup semalam, selepas hampir sebulan diburu kerana merompak dua buah rumah di kampung berdekatan Pekan Simunjan.

Menurut Ketua Polis Simunjan Deputi Superintendan Merbin Lisa, pihaknya menerima laporan kejadian pertama pada 25 Disember tahun lepas daripada seorang warga emas berusia 68 tahun yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk pada tengah malam melalui pintu belakang.

Katanya, mangsa pada masa itu berada di dalam bilik dan terdengar pintu belakang rumahnya diumpil tetapi tidak berani keluar atas faktor usia.

Keesokan hari, mangsa mendapati seunit komputer riba dan tabung wang syiling hilang dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

“Suspek ditangkap di sebuah kampung di Batu 12, Jalan Puncak Borneo yang menjadi tempatnya bersembunyi selepas pecah rumah.

“Hasil soal siasat, suspek merupakan penduduk kampung berhampiran Pekan Simunjan dan mengaku memecah masuk rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata suspek juga telah menjual komputer riba yang dicurinya namun tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah IPD Simunjan berjaya menemui semulanya.

Beliau menambah suspek juga mengaku terlibat dengan satu lagi kes pecah rumah di kawasan sama, dengan mencuri ‘sport rim’ kereta dan satu tong gas dengan nilai kerugian RM1,000.

Katanya laporan mengenai kejadian diterima pada 5.30 petang semalam oleh seorang lelaki berusia 61 tahun, di mana usaha sedang dijalankan untuk mengesan barang yang hilang.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan semakan rekod lampau mendapati dia pernah dipenjara selama enam bulan pada 2018 atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Sabit kesalahan boleh dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun (maksimum 14 tahun) dan denda.

Selain itu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM 5000 dan pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Suara Sarawak