KUCHING: Padah merosakkan harta benda dalam rumah ibu kandung menggunakan sebilah parang, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh berusia 30 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan pertama, dia sengaja merosakkan harta milik ibunya berusia 63 tahun dengan memecahkan cermin tingkap dapur hingga menyebabkan kerugian RM60.
Manakala pertuduhan kedua, dia sengaja merosakkan meja solek milik kakaknya berusia 34 tahun hingga menyebabkan kerugian RM1,300.
Dia melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Jalan Matang, kira-kira jam 10.03 malam, 31 Mei lalu.
Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.