MUKAH: Calon GPS Dun Tellian, Royston Valentine adalah pilihan belia yang tepat oleh Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, beliau percaya ia keputusan tepat kerana Royston bukan calang-calang individu serta pernah diangkat menjadi Tokoh Belia Negeri Sarawak.
“Dalam PRN kali ini kita juga kita tidak hanya meletakkan calon veteran. Malah barisan kepimpinan sekarang juga akan melalui proses perubahan kerana kita memerlukan anak muda untuk meneruskan legasi sedia ada,” katanya pada Majlis Program Jelajh Belia Sarawak 2021 di Maktab Rendah Sains Mara pafi tadi.
Jelasnya Royston juga pernah disenaraikan antara enam calon terakhir Tokoh Belia Malaysia berikutan penglibatannya banyak menjurus kepada aktiviti kemasyarakatan.
“Pada waktu itu beliau ialah satu-satunya calon dari Sarawak yang dipilih di peringkat kebangsaan.
“Justeru, saya percaya calon yang dipilih oleh Ketua Menteri untuk Dun Tellian ini pasti akan menjadi seorang pemimpin suatu hari nanti bersama-sama lapan lagi calon belia GPS yang lain,” ujarnya.
Tambahnya, jika belia diangkat awal dalam politik maka lebih ramai lagi belia bersedia dalam menghadapi pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen, Pilihan Raya Kecil dan sebagainya.