KUCHING: Indonesia mengalu-alukan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK2.0) yang membolehkan warganya di sini terus bekerja dalam pelbagai sektor di Sarawak dengan dokumen yang sah.
Konsul Jeneral Republik Indonesia Raden Sigit Witjaksono berkata, program itu disambut baik kerana ia membolehkan warga Indonesia bekerja secara sah dan konsulat telah menjalankan program RTK bagi membantu rakyatnya mendapatkan dokumen kerja yang sah.
“Kita sudah maklumkan kepada pihak berkuasa di Sarawak bahawa kita sedang melaksanakan program yang telah dilancarkan pada Julai tahun ini.
“Kami telah menerima permohonan daripada orang ramai secara terus di konsulat. Selain, menerusi program jangkauan hadir ke ladang atau kilang, bagi mengalu-alukan pihak syarikat membuat permohonan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa syarikat tempatan yang menggunakan tenaga kerja dari Indonesia tanpa memiliki dokumen kerja yang sah supaya membantu memohon secepat mungkin.
“Ini pastinya memberi manfaat kepada syarikat, pekerja, pihak berkuasa dan konsulat,” katanya selepas upacara menaikkan bendera Indonesia sempena Hari Ulang Tahun Republik Indonesia ke-78 di sekitar bangunan Konsulat Jenderal Indonesia Republik, hari ini.
Sigit turut memaklumkan enam syarikat telah membuat permohonan dan masih disahkan oleh pihak konsulat.
“Kira-kira 800 permohonan telah diluluskan. Jadi kami harap kami dapat menyelesaikannya dengan cepat bersama-sama untuk manfaat semua,” jelasnya.