KUANTAN: Seorang suri rumah berusia 36 tahun mendakwa rugi RM110,556 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan menerusi aplikasi media sosial.
Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata mangsa mendakwa pautan iklan di Telegram pada 30 Mei lepas hanya memerlukan dia membuat tanda suka dan berkongsi video YouTube.
“Mangsa ditawarkan komisen antara 15 ke 20 peratus bagi melakukan lapan tugasan, namun dia perlu membuat bayaran terlebih dahulu bagi mendapatkan pautan ke video terlibat.
“Mangsa kemudian mengeluarkan wang simpanan serta meminjam daripada rakan-rakan untuk membayar suspek,” katanya menerusi kenyataan.