
KOTA SAMARAHAN: 15 buah keluarga di Kampung hulu Tambey mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas kediaman mereka tenggelam akibat banjir, semalam.
Hujan lebat berterusan dari jam 4 petang sehingga 12 tengah malam menyebabkan tempat tinggal terbabit dimasuki air berketinggian kira-kira empat kaki bermula jam 7 malam.

TOLONG…Para penduduk membantu salah seorang mangsa menolak kereta ke kawasan yang lebih selamat
Insiden mengejut itu menyebabkan beberapa barangan penting mangsa terjejas gagal diselamatkan khususnya barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk termasuk kereta turut ditenggelami banjir.

TERJEJAS…Keadaan banjir memasuki rumah kediaman penduduk di kawasan Hulu Tambey
Salah seorang mangsa, Muhamad Jalir mengakui amat terkesan berikutan ruangan lantai rumahnya yang baru sahaja disiapkan sehari sebelum kejadian hancur akibat dinaiki air.
“Pada mulanya saya mengira air tidak naik namun kiraan saya salah apabila air masuk secara mengejut ekoran hujan turun tidak berhenti.
“Lantai rumah dan sebahagian ruangan dapur yang baru sahaja disimen lebur sekelip mata dan memang tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, Ismadi Bujang memberitahu, sofa di ruangan tamu antara barangan terjejas termasuk laci pakaian yang berada di dalam salah sebuah bilik rumahnya.
“Barangan rumah penting termasuk televisyen, peti sejuk dan lain-lain berjaya diselamatkan,” katanya.
Tinjauan Suara Sarawak pada jam 8 pagi mendapati air telah pun surut manakala hujan mula berhenti kira-kira jam 2 pagi.

SURUT…Keadaan air di kawasan Kampung Bako beransur surut menjelang pagi
Dalam perkembangan sama, tinjauan Suara Sarawak ke lokasi panas banjir, Kampung Bako mendapati banjir juga mulai surut namun air di kawasan parit dan sungai masih dalam keadaan paras tinggi.