TERPEDAYA dengan ganjaran lumayan serta desakan masalah kewangan antara punca seseorang terjerat dengan sindiket keldai akaun.
Keldai akaun merupakan individu atau organisasi yang menyerahkan atau membenarkan akaun bank miliknya kepada pihak lain bagi tujuan jenayah walaupun tanpa pengetahuan mereka.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), sebanyak 34,297 keldai akaun dikenal pasti di seluruh Malaysia bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023.
Dari jumlah tersebut, jelas beliau, sebanyak 2,354 keldai akaun dikenal pasti di Sarawak terlibat dengan kes penipuan online seperti penipuan e-dagang, phone scam, pinjaman tidak wujud, tipu tawaran kerja sambil secara dalam talian dan lain-lain lagi melibatkan nilai kerugian lebih RM42 juta.
“Sebanyak 444 keldai akaun ditangkap dan dituduh oleh PDRM Kontijen Sarawak pada tempoh yang sama.
“Menurut analisis yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, lingkungan umur keldai akaun adalah antara 18 sehingga 70 tahun.
“Golongan ini merupakan golongan yang memenuhi syarat pembukaan akaun simpanan di institusi kewangan tempatan.
“Tawaran upah yang lazimnya ditawarkan oleh sindiket kepada keldai akaun di antara RM50 sehingga RM1,000 bagi satu akaun bank,” katanya kepada pemberita.
Ujarnya, faktor yang menjadi punca wujudnya keldai akaun ialah sikap segelintir pihak yang inginkan wang mudah tanpa perlu bekerja keras dengan menyewakan atau menjual akaun bank mereka kepada sindiket tanpa berfi kir panjang.
Malah, tahap kesedaran yang rendah serta tidak memikirkan kesan juga menjadi salah satu punca wujudnya keldai akaun ini.
Modus Operandi Sindiket keldai akaun biasanya menyasarkan individu berpotensi seperti graduan, suri rumah, warga emas, penganggur dan pencari pekerjaan dengan menjanjikan bayaran RM50 hingga RM1,000.
Akaun tersebut digunakan sindiket untuk kegiatan penipuan mendapatkan wang mangsa.
Akhir sekali, sindiket keluarkan wang yang dimasukkan mangsa penipuan melalui mesin ATM atau pindahan wang segera ke akaun lain.
KATEGORI KELDAI AKAUN
Menurut Azman, keldai akaun terbahagi kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah serah akaun — pemilik menyerahkan kad ATM dan nombor pin kepada pihak tertentu untuk digunakan tanpa pemantauan.
Kategori kedua ialah jual atau sewa akaun — pemilik menjual atau menyewa kad ATM dan nombor pin kepada pihak lain dan kemudian menerima bayaran.
Manakala, kategori ketiga pula ialah tawaran kerja—pemilik akaun ditawarkan pekerjaan untuk membuat transaksi wang daripada akaun persendirian ke akaun pihak ketiga serta dibayar komisen.
“Orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi maklumat akaun bank untuk diakses pihak ketiga atau penjenayah kewangan.
“Jangan mudah percaya atau terima tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan melibatkan penyerahan kad ATM.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar jangan sesekali membantu orang yang tidak dikenali untuk terima atau pindahkan wang dari akaun lain ke akaun bank anda.
“Sila maklumkan kepada pihak bank dengan segera sekiranya kehilangan kad ATM,” katanya kepada Suara Sarawak.
SUKAR DIKESAN
Menurut Datuk Azman, kaedah Layering Akaun Bank atau pindahan wang secara berperingkat melambatkan proses mengesan wang mangsa seperti.
Mangsa memindahkan wang ke akaun keldai (lapisan pertama) yang dibenarkan suspek atau sindiket.
Seterusnya, wang daripada akaun keldai pertama segera dipindahkan ke beberapa akaun keldai yang lain oleh sindiket.
Wang hasil penipuan tersebut kemudian dikeluarkan oleh sindiket pengeluaran wang bagi menghapuskan jejak daripada sistem perbankan.
Dalam tempoh kurang lima minit, wang mangsa penipuan boleh dipindahkan ke akaun keldai yang lain dengan menggunakan perkhidmatan perbankan Internet.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar mengelak diri daripada menjadi keldai akaun.
Kesannya, akaun bank mereka disekat dan tidak boleh membuat sebarang transaksi perbankan seperti penerimaan gaji dan bantuan daripada kerajaan.
Selain itu, mereka yang terlibat dalam kegiatan keldai akaun tidak dibenarkan membuka akaun bank di mana-mana institusi kewangan.
Malah, keldai juga boleh dituduh di bawah undangundang yang berkuat kuasa.