Rumah Budin musnah terbakar

MUKAH: Sebuah Rumah Panjang, Rumah Budin yang beralamat di Kampung Sungai Duan, Bukut Mukah di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku sekitar awal jam 4 pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak memaklumkan Komander Operasi PPgB Azman Hanapis mengesahkan Rumah Budin 13 pintu tersebut musnah sepenuhnya setelah BBP Mukah tiba ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba di lokasi, kebakaran telah memusnahkan 90 peratus rumah berkenaan dan berdasarkan maklumat dari penguni rumah tersebut, kebakaran dipercayai bermula dari pintu rumah bernombor enam dan tujuh.

“Seramai lapan anggota Pasukan Bomba Mukah yang diketuai oleh PBK II Nassir tiba ke lokasi dengan sebuah LFRT dan EMRS telah melakukan pemadaman dengan membentangkan dua aliran sepanjang 200 kaki melalui empat pancutan nozzel yang disambungkan ke jentera dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya,” jelas kenyataan tersebut.