
KUCHING: Seramai 14 orang daripada lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila sebuah rumah yang didiami mereka di Kampung Pulo Hulu di sini musnah akibat kebakaran pada awal pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 4.22 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan segera digerakkan ke lokasi.
“Komander operasi memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis dua tingkat telah terbakar 100 peratus. Turut terbakar sebuah kenderaan.
“Kesemua penghuni dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kesemua mangsa terdiri daripada 10 orang dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Tambahnya, pasukan bomba membuat kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan menggunakan sumber air dari jentera.
Katanya operasi ditamatkan pada jam 6.39 pagi, dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.