Rumah Entalai Asam terima elektrik 24 jam

KANOWIT: Penduduk Rumah Entalai Asam, Sarau Baru, Sekeranji di Machan menarik nafas lega apabila Kerajaan GPS menerangi kehidupan mereka dengan kemudahan bekalan elektrik 24 jam.

Rumah panjang 22 pintu itu difahamkan tiada bekalan elektrik dan akhirnya permohonan mereka diluluskan di bawah Skim Elektrik Luar Bandar (RES). Majlis Perasmian Bekalan Elektrik Bersama-sama Pemimpin anjuran JKKK Rumah Entalai itu disempurnakan oleh Adun Machan Allan Siden Gramong.

Allan dalam ucapannya menegaskan, kerajaan mempunyai perancangan rapi terhadap rakyat khususnya penduduk luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan mereka dengan penduduk bandar.

“Kita mempunyai pelan dan rancangan tertentu untuk rakyat luar bandar, namun ia tidak dapat dilaksanakan dengan sekelip mata. “Ia memerlukan pelbagai prosedur dan proses kerana melibatkan pelbagai aspek seperti peruntukan untuk diambil kira sebelum sesuatu pembangunan diluluskan seterusnya dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, kesabaran anda sangat diperlukan bagi melancarkan sesuatu proses pembangunan,” ujarnya. Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menyisihkan rakyat dan dakwaan segelintir pihak tertentu yang mengatakan GPS sering terlepas pandang penduduk luar bandar, tidak benar sama sekali.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperuntukkan sejumlah dana yang besar dalam bajet negeri kepada penduduk luar bandar. “Ini menunjukkan Ketua Menteri dan kerajaan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar bagi memastikan rakyat hidup selesa,” tegasnya.

Sementara itu, Tuai Rumah Entalai bersyukur terhadap projek RES itu di bawah GPS. “Sudah lama kami menunggu projek tersebut. Akhirnya ia dilaksanakan di bawah Kerajaan GPS hasil sokongan Allan yang begitu prihatin terhadap masalah kami di luar bandar.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua penduduk kampung agar terus memberikan sokongan padu kepada Allan seterusnya GPS pada pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Suara Sarawak