MIRI: Sebuah rumah tidak berpenghuni di Lorong Melor 1B, Kampung Tudan musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan sekitar jam 12.46 tengah hari tadi.
“Setelah menerima laporan, sepasukan anggota yang terdiri daripada enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang diketuai oleh Pegawai Bomba Tinggi II Hendry Jugah, dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong tidak berpenghuni yang berukuran 20 kali 20 kaki persegi telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Proses pemadaman api segera dijalankan dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada pam jentera ke pili bomba berdekatan.
Kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 1.35 petang sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya, dan operasi ditamatkan pada jam 1.49 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada kemungkinan berlakunya kebakaran berulang.