Rumah mampu milik: RM90 juta diperuntukkan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM180 juta tahun ini untuk merangsang industri perumahan bagi golongan B40 di negeri ini. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia khusus untuk membangunkan rumah mampu milik dan membaik pulih rumah.

“Kami telah memperuntukkan sebanyak RM90 juta untuk membina rumah mampu milik. “Selain itu, RM90 juta lagi diperuntukkan untuk membaik pulih rumah,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Perumahan dan Pembangunan Hartanah Sarawak (Sheda) Cawangan Kuching di sini, semalam.

Selain itu Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak turut memberi banyak insentif untuk mewujudkan semua perumahan yang mampu dimiliki dalam sektor swasta. Manakala mengenai pembangunan pangsapuri dan kondominium, ia hanya boleh dibina di kawasan tertentu walaupun terdapat banyak permohonan untuk rumah berkenaan di seluruh negeri.

Justeru itu, beliau ingin pemaju memahami bahawa sesetengah kawasan yang tidak dapat dibina pangsapuri dan kondominium adalah disebabkan keadaan pasaran.

“Tetapi seperti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, permintaan untuk pangsapuri dan kondominium masih ada,” katanya. Ketua Menteri berkata, Sarawak mesti mempunyai pelan induk di bandar dan pinggir bandar untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara teratur.

“Bukan sahaja pelan induk, kita juga perlu mempunyai pelan yang betul di beberapa kawasan supaya semua bangunan dan hartanah yang akan dibina mematuhi pelan yang betul dan ini akan memberi struktur yang betul dalam perancangan kerajaan,” katanya.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil dan Presiden Sheda Christopher Ngui antara yang hadir.