
KUCHING: Sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Cahaya Aman, Taman Puteri, Petra Jaya di sini musnah dalam kejadian kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.58 petang.
“Seramai 10 anggota Balai Bombda Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerah ke lokasi dan dibantu 10 anggota dari BBP Padungan.
“Anggota melakukan pemadaman secara ofensif dan berjaya menghalang kebakaran dari merebak ke rumah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 8 malam.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
