Rumah panjang di Bintulu terbakar, 135 hilang tempat berteduh

BINTULU: Seramai 135 penghuni Rumah Panjang Eloh Jugah di Kampung Banyai, Sungai Segan, di sini, hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Dua belas anggota Bomba dan Penyelamat Bintulu diketuai PBK II Stephent bin Plen bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 petang.

90 peratus bangunan rumah panjang setingkat berstruktur tidak kekal itu musnah dalam kebakaran tersebut.

Pihak bomba menggunakan sumber air terbuka yang disambungkan ke jentera untuk memadamkan api.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Pada masa ini, mangsa mendirikan khemah sementara di kawasan lapang berdekatan rumah panjang yang terbakar.

Anggota bomba memadam api yang memusnahkan rumah panjang, Eloh Anak Jugah, Kampung Banyai, Sungai Segan di Bintulu.