BELAGA: Sebuah rumah panjang dua tingkat di Long Mejawah Sungai Asap di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi mengakibatkan kediaman 15 pintu rumah panjang khususnya di bahagian blok B dilaporkan hangus secara keseluruhan (100 peratus).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak yang mengesahkan kejadian berkata, operasi pemadaman awal dilaksanakan oleh Pasukan Bomba Sukarela sebelum menunggu ketibaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga tiba di lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman awal dilakukan oleh pasukan Bomba Sukarela di bahagian blok B secara ‘offensive’ dan ‘defensive’.
“Pasukan operasi di lokasi yang tiba di operasi melaporkan kebakaran melibatkan blok B telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat berita ditulis, kebakaran dilaporkan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih tidak diketahui.