Rumah panjang menyembah bumi

SIBU: Tiga bilik di rumah panjang Peter Skim Sekuau Batu 28, Jalan Ulu Oya runtuh menyembah bumi dalam kejadian awal pagi semalam.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii, pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.18 pagi membabitkan 23 penghuni rumah panjang tersebut.

Ling Hii berkata, runtuhan berlaku pada bilik ketujuh yang dihuni oleh tiga penghuni, bilik kelapan sembilan penghuni dan bilik kesembilan seramai 11 penghuni.

“Tiang bangunan di bahagian dapur tidak dapat menahan struktur bangunan menyebabkan ia runtuh, tetapi tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, Bomba Sungai Merah telah memeriksa kawasan sekeliling dan menasihatkan penghuni rumah untuk berpindah ke ruang tamu.

Kata Ling Hii lagi, pihak bomba telah memaklumkan perihal rumah runtuh tersebut kepada agensi lain termasuk pegawai daerah berkaitan.