Rumah panjang simbolik masyarakat harmoni di Sarawak

BINTULU: Menikmati kehidupan di rumah panjang satu pengalaman yang amat menarik dan mengujakan kerana masyarakatnya boleh hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Saya amat teruja melihat kehidupan masyarakat Iban di rumah panjang yang boleh hidup bersama dalam suasana aman damai dan penuh harmoni di samping sentiasa bekerjasama rapat dalam melakukan setiap aktiviti, kata Associate Professor Dr. Zahiraniza Mustaffa, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Persekitaran Universiti Teknologi Petronas(UTP), Perak.

Satu tradisi yang sangat unik kerana masih dapat dikekalkan sampai sekarang walaupun zaman telah berubah.

Ini kerana, apa yang kita nampak keharmonian setiap keluarga itu semakin kurang dalam masyarakat kita hari ini.

Tetapi dengan tinggal di rumah panjang di mana setiap apa yang dilakukan… Kesepakatan itulah yang mahal dan sangat bernilai. Itulah yang hilang sekarang.. Benda itu kalau diterapkan sangat bagus, masyarakat Semenanjung sepatutnya mempunyai pemahaman yang sama, benda itulah yang makin kurang..

DR. ZAHIRANIZA MUSTAFFA

Walaupun mereka masih mengekalkan tradisi tetapi perkembangan minda terus berubah mengikut perubahan dan peredaran masa, ujar Zahiraniza ketika ditemui Suara Sarawak dalam kunjungan singkat ke rumah panjang, Jaraw Anak Sumuk, Sungai Plan,Jalan Tanjung Kidurong, di sini.

Lawatan singkat tersebut antara pengisian yang diatur pihak Serba Dinamik Holdings Berhad untuk rombongan seramai 25 pelajar Kejuruteraan Mekanikal UTP, Perak sempena program tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Bagi Nadiah Najihah Abdul Rahim, 21,beliau amat bertuah kerana berpeluang mengadakan lawatan ke rumah panjang.

“Hari ini merupakan sejarah buat diri saya kerana berpeluang melawat ke rumah panjang dan melihat kehidupan masyarakat di sini, saya rasakan ia satu pengalaman yang amat menarik dan berharga.

“Jelas terpancar di wajah mereka, satu nilai perpaduan yang tinggi dan kerjasama erat di antara satu sama lain.

Satu pengalaman yang mengujakan,” kata pelajar tahun kedua Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Petronas, Perak itu.

Perasaan teruja pertama kali menjejakkan kaki ke rumah panjang turut dikongsi rakannya, Chan Wei Han.

Pelajar Tionghua berusia 23 tahun berasal dari Ipoh, Perak memberitahu kunjungan ke rumah panjang memberikan satu pengalaman baharu kepadanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Sarawak.

Banyak pengalaman kali pertama yang dapat saya rasai menerusi penyertaan dalam program ini.

Saat pertama tiba di rumah panjang, saya terkejut, sebab apa yang saya tahu mengenai rumah panjang tak sama dengan apa yang saya nampak.

Sebelum ini saya hanya tahu serba sedikit tentang rumah panjang termasuk masyarakat Iban ataupun cara hidup mereka melalui buku teks dan televisyen.

Tapi bila saya sendiri merasai pengalaman dekat rumah panjang semua baru saya tahu keindahan sebenar duduk di rumah panjang macam mana masyarakat di rumah panjang, ujarnya.

NADIAH NAJIHAH ABDUL RAHIM

 

CHAN WEI HAN…

 

Pelajar Tahun Kedua Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Petronas, Perak merakamkan gambar dengan penduduk rumah panjang, Jaraw Anak Sumuk.

 

CUBA… Sebahagian pelajar Universiti Teknologi Petronas, Perak mencuba minuman ‘air tuak’.

 

TERUJA… Pelajar Universiti Teknologi Petronas, Perak tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan ‘Ajat Iban’ semasa kunjungan ke rumah panjang, Jaraw Anak Sumuk.