Rumah panjang terbakar di Mukah, 36 penghuni tinggal sehelai sepinggang

MUKAH: Seramai 36 penghuni daripada lima keluarga tinggal sehelai sepinggang, setelah rumah panjang yang didiami mereka di Rumah Tingang Anjang, Sebakong Mukah musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, kesemua mangsa dari lima pintu rumah panjang tersebut sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi PPgB Azman Hanapis menjelaskan pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah  menerima panggilan kecemasan tersebut sekitar jam 11.56 malam.

“Seramai enam anggota dari BBP Mukah yang diketuai PBK II Nasir Drahman bersama dua buah aset bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan.

“Setibanya dilokasi pihak Bomba telah menggunakan sumber air terbuka yang berdekatan untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 2.30 pagi, namun rumah panjang lima pintu jenis tidak kekal tersebut musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.

Menurut maklumat awal salah seorang penghuni, kebakaran dipercayai sengaja dilakukan oleh salah seorang penghuni rumah panjang tersebut yang pada mulanya mengugut untuk membunuh diri ketika pihak Polis tiba di lokasi.

“Seterusnya kebakaran dikatakan berlaku selepas pihak polis beredar dari lokasi kejadian dan suspek bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran selepas kejadian.

“Saksi iaitu isteri suspek, Senorita juga memaklumkan perkara yang sama,” ujarnya.

Punca sebenar belum dapat dikenalpasti sama ada suspek kurang siuman ataupun berpunca dari masalah tekanan.

Suara Sarawak