
NUKILAN:WAN HANITA WAN DRANISUNGAI BULOH, SELANGOR.
Cuaca hari itu sangat baik.
Awan bergumpalan memancarkan cahaya. Indahnya pagi itu seceria hatinya yang ingin bermusafir.
Terbayang-bayang lagi mesej Kak Long dua bulan lalu.
“Rumah mak dah tak ada penyewa.
Lepas raya, rumah tu akan dibaiki kerana agak uzur.”
Usai membaca mesej itu dalam WhatsApp keluarga, dia terus menitipkan komen.
Maka, terjadilah perbincangan keluarga secara tidak langsung apabila adik-beradik lain juga menitipkan pandangan.
Lewat petang, dia sampai jua di kampung halaman – destinasi yang sangat dirinduinya.
Rumah peninggalan ibunya itu tetap kukuh walaupun kelihatan cat dindingnya sudah luntur.
Kendatipun rumah itu biasa-biasa saja, namun dibina berdikit-dikit oleh kudrat ayahnya dengan limpahan kasih sayang.
Setelah menyerahkan kunci, Kak Long beredar.
Sayu hati apabila berada di laman rumah itu. Pandangan dilontarkan ke arah baruh depan rumah buat seketika.
Masya-Allah, indahnya ciptaan-Mu.
Padi yang sedang menghijau sangat menenangkan hati.
Tak perlu lagi ke tempat lain jika ingin menjamu mata melihat indahnya pemandangan kampung.
Semuanya tersedia di kampung halamannya sendiri.
Daun pintu ditolak.
Dia menuju dapur.
Berada di dapur, kenangan persiapan raya hampir 30 tahun lalu bertamu dalam mindanya.
Masa itu, dia masih remaja.
Apabila menjelang hari raya, ibu membuat tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah.
Selesai solat Tarawih, ibu turun ke dapur membuat tapai.
Selesai proses menabur ragi, giliran anak-anak perempuan pula membantu.
“Mari bungkus tapai ni,” laung ibu dari dapur.
Talam merah yang berisi pulut itu diletakkan di lantai yang dialas tikar mengkuang.
“Ambil setengah sudu saja pulutnya.
Jangan besar sangat, agak-agak satu suap saja,” arah ibu sambil menunjukkan kuantiti pulut yang diambil untuk sehelai daun yang sederhana besarnya.
Dia tersenyum melihat hasil tapai yang dibungkusnya.
Saiznya agak besar daripada yang lain.
Setelah siap membungkus, ibu menyimpannya di dalam periuk.
Periuk tersebut dibungkus pula dengan kain batik.
Tiba masa yang sesuai, barulah bungkusan kain batik tersebut dibuka.
Setelah ayah kembali di negeri abadi, ibu yang sememangnya kurang sihat tidak dibiarkan bersendirian di rumah tersebut.
Dia dibawa oleh anak-anak untuk tinggal bersama-sama secara bergilir-gilir.
Mereka sepakat menyewa rumah tersebut supaya ada juga orang yang menjaganya.
Sejak itu mereka kehilangan tempat berkumpul di rumah tersebut.
Apabila tiba musim perayaan, mereka adik-beradik berkumpul di rumah Kak Long yang lebih kurang tiga kilometer dari situ.
Sudah 12 tahun dia tidak menjejak kaki di rumah itu.
Dua tahun lalu, ibunya pula dijemput Pencipta.
Apabila kedua-dua orang tua sudah tiada, hatinya meronta-ronta untuk balik ke rumah pusaka itu.
“Umi, ayah panggil. Kita nak ke rumah Mak Long, berbuka puasa.”
Dia terkejut dari lamunannya yang panjang setelah dipanggil oleh anak bongsunya.
Rumah pusaka itu banyak kenangannya.
Rumah itu menjadi tempat persinggahan apabila balik kampung.
Rumah persinggahan juga buat adik-beradiknya yang lain tika mereka rindu akan teratak kehidupan yang mendewasakan mereka.
Rumah itu bukan untuk disewa lagi. Itulah keputusan yang dinoktahkan dalam perbincangan kumpulan keluarga tempoh hari.
Berada di rumah itu, ternampak-nampak kanvas kenangan lalu. Mahal harganya tidak ternilai oleh wang ringgit.