CAPTIONS
KUCHING: Sepasang suami isteri hilang tempat tinggal apabila rumah teres setingkat didiami mereka di Taman Malihah, di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.23 tengah melibatkan kediaman yang didiami mangsa berumur 63 dan 55 tahun.
Katanya, akibat kejadian, api turut merebak ke rumah berdekatan yang didiami sepasang suami isteri berumur 34 dan 30 tahun.
“Kebakaran pada rumah pertama telah merebak ke bahagian dapur serta kawasan parkir rumah kedua dengan anggaran sebanyak 10 peratus terjejas.
“Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa dan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah digerakkan ke lokasi dan dibantu BBP Batu Lintang.
Katanya, pasukan pemadam yang tiba di lokasi membuat kerja menyelamat, mengawal serta memadam kebakaran dengan membentang dua aliran 200 kaki dua pancutan dan dua aliran salur bantu mula secara defensif.
“Manakala jentera dari BBP Batu Lintang membantu menyalurkan sumber air ke jentera BBP Petra Jaya.
“Operasi ditamatkan pada jam 3.21 petang setelah mendapati keadaan terkawal dan tiada punca api,” jelasnya.
Katanya, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.