KUCHING: Sebuah rumah kekal tidak berpenghuni nyaris hangus secara keseluruhan dalam kebakaran di Jalan Foochow 2B, semalam.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Thomas Umpang Julong berkata, kebakaran memusnahkan sebanyak 30 peratus bahagian rumah yang berkeluasan 100×60 kaki.
“Sebahagian daripada kawasan rumah yang terbakar merupakan tempat penyimpanan barang-barang terpakai.
“Bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Terdahulu katanya, pihaknya menerima laporan kebakaran rumah pada jam 10.13 malam.
Ujarnya, operasi pemadaman telah ditamatkan pada jam 11.50 malam.
“Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kebakaran ini,” ujarnya.
Untuk rekod, operasi membabitkan seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan lapan anggota dari BBP Tabuan Jaya.