KANOWIT: Rumah Unau Emol di Skim Penempatan Semula Nanga Jagau dekat sini dilaporkan terbakar malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya lewat malam tadi berkata, Kawalan Balai Bomba Pusat (BBP) Kanowit menerima maklumat mengenai kejadian melalui seorang ketua masyarakat di kawasan itu pada jam 10.10 malam.
“Kawalan BBP Kanowit memaklumkan menerima aduan tersebut melalui aplikasi WhatsApp daripada Ketua Masyarakat Kawasan Ngemah Hulu, Kanowit Penghulu Juni Masam,” jelas jurucakapnya.
Menurutnya lagi, kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis separuh kekal, dua tingkat dan mempunyai sebanyak 20 pintu telah terbakar pada jam 9.10 malam.
Maklumat awal yang diperoleh jelasnya, kesemua penghuni rumah panjang berjaya menyelamatkan diri dan selamat.
Bagi tindakan operasi, ujarnya, pihak bomba akan bergerak ke lokasi pada keesokan hari (pagi ini) kerana hari telah gelap dan cuaca hujan lebat.
“Dimaklumkan juga laluan ke lokasi melalui jalan balak dan mengambil masa perjalanan yang lama.
“Tindakan memaklumkan perihal kejadian kepada Ketua Zon, Ketua Balai dan Bahagian Penyiasatan Zon termasuk Balai Polis Kanowit telah dilakukan oleh Kawalan BBP Kanowit,” tambah jurucakapnya.