Rumah Urut dan Refleksologi Bagi Orang Buta dibenarkan beroperasi

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan pembukaan semula operasi Rumah Urut dan Refleksologi Bagi Orang Buta, mulai 21 Disember depan.

Menurut JPBN, tindakan ini bagaimanapun perlu mengikuti syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Bagi premis yang ingin beroperasi, mereka perlu memohon kelulusan bertulis daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Bahagian masing-masing dan mengemukakan salinan kepada pihak berkuasa tempatan dimana premis tersebut beroperasi.

“Tindakan ini adalah untuk memeriksa dan memastikan setiap premis yang beroperasi mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” ujar kenyataan itu.

Difahamkan bahawa operator dan semua pekerja juga dikehendaki untuk menjalani ujian rt-PCR sebelum beroperasi dengan keputusan ujian negatif tidak melebihi tiga hari sebelum beroperasi.

Sementara itu, bagi garis panduan sambutan Hari Krismas, ia hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dengan kapasiti kehadiran seramai 20 orang pada satu-satu masa.

Jumlah ini dihadkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja yang mana prosedur operasi standard (SOP) terperinci boleh didapati di dalam laman rasmi Unit Hal Ehwal Agama-Agama lain (UNIFOR).