Rumah wakaf untuk orang Tellian

MUKAH: Pelbagai projek pembangunan kini terus dilaksanakan di Dun Tellian sebagai satu usaha penting bagi memastikan kesejahteraan penduduk di sini terus dibantu.
Salah satunya ialah sebuah rumah wakaf Kampung Tellian Ulu yang siap dibina pada 2020, diserahkan sepenuhnya untuk kegunaan penduduk di sini baru-baru ini. Adun Tellian Yusibnosh Balo menjelaskan rumah wakaf penting menempatkan penduduk yang meninggal dunia sebagai tempat persinggahan sebelum dikuburkan di Kampung Tellian Daya.
“Walaupun mempunyai rumah di kampung namun disebabkan lama ditinggalkan, rumah tersebut tidak sesuai untuk didiami.
“Bagi mereka yang berasal dari kampung, namun mempunyai rumah warisan di sini boleh membawa si mati dan keluarga untuk tinggal sementara di sini hingga urusan pengebumian selesai,” katanya kepada Suara Sarawak.
Jelas Yusibnosh lagi, projek naik taraf rumah wakaf ini bernilai RM200,000 dan kini dapat digunakan penduduk kampung yang memerlukan.
Beberapa projek lain turut diserah oleh Yusibnosh bersama-sama pihak Jabatan Kerja Raya dan beberapa kontraktor kepada ketua kampung yang terlibat projek jalan ke Dewan Kampung Tellian Tengah (RM100,000).
“Projek Jalan Masuk ke Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah bertujuan menghubungkan jalan utama Tellian ke dewan baharu yang siap sepenuhnya pada tahun 2021.
“Selain itu projek transformasi luar bandar (RTP), Dewan Terbuka Skim Penempatan Semula Kuala Lama ( RM250,000), projek Jalan di Rumah Panjang Andrea (RM50,000),” katanya lagi.
Jelasnya lagi, bagi Projek Struktur Berbumbung Padang Futsal SPS Kuala Lama ini dibina di atas padang futsal yang sedia ada sebelum ini.
“Atas kehendak Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana tiada dewan maka tapak ini akan digunakan sebagai dewan dan pelbagai aktiviti sukan untuk kawasan ini dan siap pada 2020,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak