LIMBANG: Unit Saberkas Dun Batu Danau berperanan penting menyampaikan maklumat tepat tentang fakta kemerdekaan. Pengerusi Saberkas Cawangan Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, sebagai sebuah persatuan belia, Saberkas bertanggungjawab menyalurkan maklumat yang betul di samping menanam semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, masih ramai masyarakat yang keliru dengan tarikh kemerdekaan. “Unit Saberkas akan turun ke peringkat akar umbi untuk memberikan penjelasan bagi merungkai kekeliruan tersebut.
“Pelbagai program turut dilaksanakan bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat malah menanam rasa cinta akan tanah air dan merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 anjuran Saberkas Cawangan Batu Danau di sebuah hotel terkemuka, di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Adun Batu Danau itu berkata, tindakan pembangkang yang mempolitikkan program AgriCop di bawah Jabatan Pertanian sangat tidak wajar dan berniat jahat. Tegasnya, program itu tidak sepatutnya dipolitikkan oleh pembangkang kerana ia merupakan usaha kerajaan untuk membantu masyarakat.
“Dakwaan program AgriCop bersifat politik adalah tidak berasas dan ia hanya propaganda politik pembangkang. “Penganjuran program tidak memilih orang.
Malah ada dalam kalangan penyokong pembangkang turut serta dan mendapat manfaat daripada Program AgriCop ini dalam memperkasakan warga tani di kawasan Dun Batu Danau dan seluruh bahagian di Sarawak,” jelasnya lagi.
Dalam majlis yang sama, Paulus turut menyerahkan geran Unifor kepada 12 gereja di Limbang.
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah; Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said; Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Pemanca Jun Sila antara yang turut hadir.