Rustam Saidov jadi pilihan ketua jurulatih tinju kebangsaan

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh tinju Uzbekistan dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 Rustam Saidov sah dipilih sebagai ketua jurulatih skuad tinju kebangsaan yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal Januari tahun depan.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata bekas juara Asia berusia 42 tahun itu dijangka tiba di Malaysia pada 15 Dis depan dan perlu melalui proses kuarantin selama 14 hari sebelum memulakan tugasnya.

“Pemilihan jurulatih baharu dari Uzbekistan itu kita (PTM) telah berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan perkara ini dipersetujui.

“Kita berharap dengan kehadiran jurulatih baharu dapat meningkatkan tahap prestasi dan keupayaan atlet kebangsaan. Beliau (Rustam) individu berpengalaman sebagai atlet dan jurulatih, usianya yang muda juga satu kelebihan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, PTM dan MSN menyenarai pendek empat calon dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Cuba dengan Rustam memenuhi segala kriteria disyaratkan selain memiliki rekod lebih memberangsangkan berbanding tiga calon lain.

Selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Rustam turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.

Sebelum ini, beberapa petinju kebangsaan berharap proses pemilihan jurulatih baharu itu segera dimuktamadkan bagi memanfaatkan tempoh ketiadaan kejohanan di peringkat antarabangsa pada masa ini untuk membentuk keserasian bersama jurulatih dan kaedah latihan baharu.

Sementara itu, Mohamad Iruan mengakui PTM turut terkesan dengan pembatalan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, namun ia memberi ruang untuk menumpukan terhadap proses menaik taraf pusat latihan petinju negara di Kompleks MSN Keramat yang dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

Beliau berkata ia membabitkan penambahbaikan peralatan gimnasium, menggantikan karung tinju yang usang serta menaik taraf permukaan gelanggang tinju.

“Dari segi atlet, kita cuba teruskan dengan program latihan untuk kekalkan tahap prestasi mereka dan dari segi persatuan kita ambil kesempatan ini untuk menaik taraf kelengkapan di pusat latihan.

“Selepas itu, kita akan tumpu pula kepada pusat latihan 17 ahli gabungan PTM untuk melihat keadaan kelengkapan serta tempat pusat latihan itu sendiri sebelum dinaik taraf,” katanya.

 

Suara Sarawak