RUU Langkah Sementara untuk Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus (Covid-19) 2020 dilulus

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara untuk Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus (Covid-19) 2020 diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Ia selepas RUU ini mendapat sokongan majoriti Adun, sekali gus akan membolehkan 11 undang-undang negeri untuk disemak semula dan diubah di bawahnya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika membentangkan RUU ini berkata ia akan digunakan untuk mengubah undang-undang negeri yang tidak dilindungi oleh Akta Covid-19 persekutuan.

Katanya undang-undang tersebut ialah Ordinan Mahkamah Bumiputera,1992 (Ordinan No.9/92), Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan,1996 (Bab 20), Prdinan Penggunaan Tanah (Kawalan Kegiatan Perdagangan Yang Ditetapkan), 1997 (Bab 23), Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 (Bab 26), Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi, 1998 (Bab 27), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar, 1999 (Bab 32), Ordinan Perikanan Negeri, 2003 (Bab 54), Ordinan Mineral, 2004 (Bab 56), Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan), 2013 (Bab 69) dan Peraturan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2014, Ordinan Hutan, 2015 (Bab 71) dan Kanun Tanah (Bab 81).

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata setelah diluluskan, RUU ini akan mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2022.

“Sekiranya pandemik berlanjutan dan kerajaan negeri berpendapat undang-undang ini harus diteruskan, Ketua Menteri dapat membuat arahan yang diperlukan untuk melanjutkannya,” katanya.

Suara Sarawak