KUCHING: Isu plagiarisme atau Cetak Rompak Hak Cipta dalam industri kraf akan dapat dibendung dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Kraf Sarawak 2023.
Demikian jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada yang berkata plagiarisme atau cetak rompak hak cipta dalam kalangan industri ini menyukarkan penemuan kraf baru serta hilang nilainya kepada pencipta asal.
Katanya, Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai etnik, budaya, tradisi, adat resam dan ini menjadikan negeri ini mempunyai kraf warisan yang pelbagai.
“Oleh itu, kami berharap penubuhan RUU 2023 ini akan dapat melindungi produk kraf dan penghasilnya sekali gus membantu mengurangkan plagiarisme dalam industri kraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas dan menyokong RUU Majlis Kraf Sarawak 2023 pada Persidangan Pertama bagi Penggal Kedua DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Simon juga yakin pengenalan dan penggubalan RUU ini akan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat Sarawak kerana ia berpotensi untuk mempercepatkan inisiatif negeri bagi meningkatkan pendapatan per kapita rakyat.