KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat malam ini menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 selepas gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga daripada 222 anggota dewan melalui undi belah bahagi.

Ini diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md Yusoff pada jam 10.30 malam, setelah hanya menyaksikan 138 undi bersetuju, tidak bersetuju (sifar undi) dan tidak mengundi (59 undi).

“Untuk mendapat majoriti dua pertiga, jumlah undi haruslah 148 undi.

“Keputusan ini didapati tidak mencapai dua pertiga majoriti diperlukan, maka RUU ini tidak boleh diteruskan untuk dibaca kali ketiga,” katanya.

Suasana dalam dewan turut kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terutama dari Sabah dan Sarawak berang sebaik sahaja keputusan mengejutkan itu diumumkan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menggulung RUU berkenaan berkata pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan ini merupakan titik permulaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah pertama dalam merealisasikan kehendak, harapan dan aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan ini dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak yang mahukan agar kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dikembalikan kepada kedudukan peruntukan tersebut semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Bagaimanapun ia dibantah oleh semua Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Rata-rata mereka menyatakan sokongan terhadap pindaan berkenaan namun membantahnya kerana ia dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Usul Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya RUU ini diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk dikaji di bawah Peraturan 54(2) juga ditolak secara undi belah bahagi apabila 136 undi tidak setuju, 60 setuju dan satu tidak mengundi.

Suara Sarawak