Saatku jatuh cinta, gajah pun boleh terbang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

ADA yang berpendapat, saat terindah di dunia apabila kita dibutakan oleh cinta.

Namun bagi kes pemuda yang menggemparkan seluruh negara Selasa lalu, ia bukan hal terindah tetapi hal paling malang dalam hidupnya.

Rasa-rasanya, semua mengetahui kisah pemuda bernama Nurul Aiman.

Hari pernikahan 10 November lalu, sepatutnya hari terindah dalam hidup pemuda itu menjadi hari dia jatuh pada titik paling rendah apabila ditipu bakal isterinya hiduphidup.

Bakal isterinya, isteri orang. Lebih pedih, wanita itu yang bekerja di jabatan kerajaan merupakan ibu kepada dua anak.

Paparan dalam Facebook miliknya mendapat perkongsian beribu-ribu orang, berpuluh-puluh ribu menghulurkan simpati, tidak kurang juga berpendapat pemuda itu lurus bendul.

Media arus perdana, portal dan televisyen nasional menyiarkan kisahnya dan negara tertumpu kepada cerita pekerja luar pesisir itu untuk sekurangkurangnya 48 jam.

Kisahnya menarik perhatian kerana hampir setahun dia bertunang dengan isteri orang.

Jika bertunang dengan suami orang, itu perkara normal, paling tidak pun jika sondol suami orang (istilah disuka netizen bagi melabelkan wanita suka suami orang) pun agak biasa.

Namun kes pemuda bertunang dengan isteri orang kes luar biasa

. Akad nikah dan persandingan dijadualkan di rumah pengantin di Matu, salah satu perkampungan Melanau di bahagian Mukah

. Mengikut cerita pemuda itu, pada 9 November dia membawa 20 ahli keluarga bertolak dari Kuching ke sana.

Biasanya perjalanan darat dari Kuching ke Sibu mengambil masa enam jam atau lebih menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo.

Apabila sampai di Sibu, perjalanan diteruskan ke Tanjung Manis kemudian belok kanan menuju ke Daro dan terpaksa menaiki dua feri kerana jambatan yang sedang kerajaan bina rancak dijalankan, masih dalam proses siap.

Campur tolak singgah makan, ia boleh menjangkau 10 hingga 11 jam.

Apabila kisah ini terjadi, ramai yang mesej bertanya, betulkah kenal atau tidak?

Bukan kerana saya wartawan, tetapi kerana saya berasal dari sana.

Saya tidak berhak mengupas apa-apa sahaja berkaitan pengantin perempuan.

Saya cuma menjawab pertanyaan, benarkah perjalanan darat ke sana mengambil masa hampir 10 jam? Ya, benar

. Seorang sahabat bertanya, eehh kampung you ada homestay?

Saya jawab, jangankan rumah inap, hospital, sekolah menengah yang ada tingkatan enam ada dua, sekolah rendah lebih daripada lima, balai bomba ada, bank ada, pasar raya menggunakan Spay, semua tanpa tunai pun ada.

Saya terangkannya, kampung saya dibina stesen minyak kedua Petros selepas Kuching.

Apa lagi yang tiada?

Cuma tiada bangunan setinggi Hotel Sheraton, kawasan maju seperti segi tiga emas di Tebingan Kuching.

Jadi, carian yang tular di seluruh negara di Facebook kerana kes itu — di manakah lokasi Matu Daro?

Ia tiba-tiba berada di atas peta yang selama ini lokasinya agak tersorok. 

Saya tidak katakan kes kehancuran hati seorang pemuda menyebabkan kampung saya popular — bukan itu niat saya.

Bagi saya secara peribadi, bekas tunangnya tetap bersalah dan sah bersalah walaupun dia orang kampung.

Bagi yang tidak pernah ke sana, biar saya kongsikan sedikit keadaannya.

Dua pekan besar, Matu dan Daro.

Di jantung keduaduanya, ada beberapa kampung yang terpisah oleh jalan berturap dan tengah-tengah sesetengah kampung, terdapat sebatang sungai kecil yang dahulunya jadi laluan utama untuk ke semua kampung.

Namun kini sungai itu kian menyempit akibat pembangunan yang menyapa dua pekan. Sebenarnya Daro sudah menjadi daerah manakala jirannya Matu, masih boleh dianggap sebuah pekan.

Dulu kami ke sekolah rendah melalui jalan hutan, kini jalan berturap menghubungkan sekolah ke kampung-kampung sekitarnya menjadikan sedikit demi sedikit menampakkan pekan yang moden.

Manakala jirannya Daro pula, sudah dipacak bangunan konkrit termasuk Hospital Daro yang sudah menempatkan doktor pakar, sekolah lebih moden, balai bomba, bank dan apa-apa kemudahan yang terdapat di bandar sudah dinikmati penduduk di sini termasuk restoran makanan segera.

Di sini juga aktiviti ekonominya hidup pada siang hari.

Jadi, sesetengah kawan saya bertanya — mereka yang digelar anak jati bandar yang tidak pernah ada kampung — di manakah lokasi wanita tular satu Malaysia itu berasal

? Di situlah, dua pekan yang tidak terkenal dan agak tersorok malah pernah dianggap antara lokasi termiskin di negara ini.

Yang orang selalu perasan, jika Melanau mereka datang dari Mukah, kerana bahagian itu sudah terkenal.

Berbalik kepada cerita pemuda bertunang dengan isteri orang, ramai tertanya-tanya mengapa dia boleh tertipu?

Percaya sangatkah? Atau cinta memang buta.

Secara peribadi saya berpendapat, dia bukan lurus bendul, bukan juga kerana terlalu percaya dengan lakonan pesona tunangnya — namun itu semua kerana cinta.

Bagi yang pernah bercinta atau dalam percintaan atau dilamun cinta, apa-apa sahaja ungkapan cinta akan kedengaran benar.

Misalnya, gajah boleh terbang — akan kedengaran benar di telinga orang yang dilamun cinta.

Jatuh cinta dan dicintai merupakan momen paling indah dalam hidup manusia, tidak kira remaja atau warga emas.

Semua orang berhak untuk mencintai dan jatuh cinta.

Setiap orang memiliki perasaan ingin menyayangi, mencintai dan menjaga seseorang yang dianggapnya istimewa, perasaan itu disebut dengan jatuh cinta.

Namun, ada beberapa orang memilih untuk tidak menikmatinya.

Ada yang menolak kerana takut berasa sakit daripada berasa manisnya jatuh cinta. Jatuh cinta itu hak mutlak untuk semua manusia.

Jangan menghentikan sesuatu yang sudah seharusnya berjalan.

Justeru, kerana terlalu cinta, pemuda tular ini meletakkan kepercayaan di tangga paling atas.

Dia percaya tunang bertahuntahun tanpa waswas.

Dia percaya semua pelan perancangan perkahwinanan diatur tunangnya hingga menidakkan rasa kurang percaya.

Kerana dia memilih untuk benar-benar jatuh cinta dengan tunangnya. Jadi, kita tidak berhak menganggapnya lurus bendul.

Percayalah, ketika seseorang jatuh cinta, semua perkara dirasanya berhenti dan hanya fokus individu yang disukainya malah tidak mengenali diri sendiri.

Jadi, anda seorang yang rugi dan membuang masa jika tidak mahu jatuh cinta, dicintai atau menyintai!

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab

Pintu syurgaku

KETIKA menulis kolum ini, saya sebenarnya dalam perjalanan ke kampung

Lain-lain

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab