KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) akan menghantar 16 petinju untuk menyertai Kejohanan Tinju Golden Glove Lelaki dan Wanita Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung di Besut, Terengganu bermula dari 12 hingga 17 Jun ini.
Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo memberitahu, 11 daripada mereka adalah petinju lelaki dan lima lagi merupakan petinju wanita yang juga pelapis bagi menghadapi temaysa Sukan Malaysia (SUKMA).
“Kita berharap barisan petinju yang dipertaruhkan pada kejohanan itu dapat menyumbang pingat buat Sarawak.
“Hanya seorang petinju Sukma lepas yang masih beraksi iaitu Mohammad Rafieq dan selebihnya adalah muka baharu,” ujar Rahman.
Barisan petinju lelaki terbabit ialah Carlson Ngu Tian Zee (minimum weight 48 kg), Peter Nyanggun (fly weight 51kg), Wan Dhia Danish (bantam weight 54kg), Isac Heinrich Manassee (feather weight 57kg), Lam Wee Liang (light weight 60kg), Frederick Xian (light welter weight 63.5kg), Mohammad Rafieq (welter weight 71kg), Jacky Tinit (light middle weight 67kg), Kok Long How (middle weight 75kg), Liew Sun Haw (cruiser 86kg) dan Mohd. Farisz Rizam (heavy weight 92kg).
Manakala petinju wanita pula terdiri daripada Frenycia (45-48kg), Anna (light fly weight 48-50kg), Clavia (fly weight 50-52kg), Ellysha Shahrihanna Hairol (bantam weight 52-54kg) dan Hamiesya Hamdan (feather weight 57-67kg).