KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) lega apabila para petintu yang berada dalam skuad tinju Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, semalam.


Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo berkata ini sekaligus membolehkan anak-anak didik Wilbur Buag Ay Andogan (jurulatih) itu meningkatkan fokus untuk persiapan menghadapi Sukma yang akan berlangsung di Johor tahun depan.
“Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak yang diterajui Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) atas usaha dilakukan dalam memastikan atlet, jurulatih serta pegawai sukan menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya kepada Arena Suara Sarawak, hari ini.
Seramai 154 orang atlet termasuk jurulatih dan pegawai menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinasi Atlet, Jurulatih dan Pegawai Sukan Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya semalam.
Program berkenaan yang turut dihadiri oleh Karim, Menteri Muda Sukan Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee serta wakil pelbagai persatuan sukan terlibat.