
KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo menyokong penuh usaha Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak untuk membawa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke negeri ini pada tahun 2024.
Menurutnya, Sarawak layak untuk sekali lagi menjadi tuan rumah kerana memiliki fasiliti sukan yang lengkap serta diiktiraf bertaraf antarabangsa.
Selain itu katanya, kemudahan lain seperti hotel, pengangkutan dan tempat makan juga banyak dan cukup untuk menampung keperluan kontinjen dari negeri lain yang bertandang ke sini.
“Bagi pihak persatuan sukan, kita berasa bangga atas usaha Datuk Seri Abdul Karim untuk membawa penganjuran Sukma ke negeri ini pada tahun 2024.
“Sudah tentu pihak SABA sangat menyokong usaha ini kerana kita yakin Sarawak mampu menjadi tuan rumah temasya berprestij negara itu,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya kerajaan negeri pasti menyokong penganjuran itu kerana ia seiring dengan visi mahu menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di Malaysia.
Tambah Rahman, ia pastinya peluang terbaik untuk merampas semula gelaran juara keseluruhan yang kali terakhir dimenangi 30 tahun lalu iaitu pada 1994 di Perak.
Dalam hal ini katanya, SABA serta persatuan sukan lain bertekad memberikan yang terbaik untuk memastikan atlet Sarawak merangkul emas sekali gus merealisasikan impian kembali bergelar jaguh.
Sebelum ini, Abdul Karim dalam satu majlis di sini baru-baru ini mendedahkan Sarawak sedia menjadi tuan rumah Sukma 2024 sekiranya tiada negeri yang mahu menganjurkannya.
Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah pada 2016 dengan kontinjen Bumi Kenyalang menduduki tempat kedua secara keseluruhan, di belakang Selangor dengan perbezaan dua pingat emas.