ARTIKEL

Sabah benam Perak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SABAH FC yang bermain di laman sendiri malam ini beraksi cemerlang menewaskan Perak FC 3-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu. 

Anak buah Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan kencang Darren Lok yang membuat susulan terhadap sepakan percuma Baddrol Bakhtiar sekali gus menafikan ketangkasan penjaga gawang pelawat, Bryan See. 

Kedua-dua pasukan kemudiannya masing-masing cuba mengatur serangan namun kelebihan berpihak kepada skuad tuan rumah apabila berjaya menambah jaringan melalui sepakan padu Park Tae Su di dalam kotak penalti pada minit ke-32, sebelum Kapten Sang Badak Baddrol menambah jaringan lapan minit kemudian. 

Anak buah Datuk Lim Teong Kim cuba bangkit pada babak kedua perlawanan apabila pemain gantian Harith Naim berjaya membolosi gawang Sabah FC dengan sepakan kencang untuk menghadiahkan gol sagu hati buat pasukannya, namun terpaksa akur apabila keputusan kekal 3-1 sehingga tiupan wisel penamat. 

Sementara itu, PDRM FC menang bergaya dengan menewaskan tuan rumah Kelantan FC 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. 

Pasukan pelawat cemerlang membuka jaringan menerusi pemain import Marcus Macauley seawal minit ke-15 perlawanan apabila mudah menolak masuk bola hantaran lambung rakan pasukan dalam kotak penalti tuan rumah, sebelum Nabil Ahmad Latpi menambah jaringan pada minit ke-33. 

Bersambung babak kedua perlawanan, Sang Saka Biru yang memperkemaskan jentera serangan berhasil mendapatkan jaringan ketiga menerusi pemain import Uche Agba pada minit ke65, sebelum Bruno Suzuki mengesahkan lagi kemenangan pada waktu kecederaan. 

Bagaimanapun, pemain import Kelantan FC, Miguel Cifuentes berjaya memperoleh gol saguhati buat pasukannya menerusi tandukan pada masa tambahan perlawanan sebelum wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 4-1. 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan FC (NSFC) pula terpaksa akur dengan kutipan satu mata apabila berkongsi jaringan 3-3 dengan Kelantan United.

Pasukan tuan rumah dibolosi gol pendahuluan pemain import lawan, Jose Elmer Porteria pada minit ke-14 akibat kesilapan pemain pertahanan NSFC di depan pintu gol. 

Pasukan pelawat terus menghukum pertahanan tuan rumah dengan rembatan kencang Muhammad Syazwan Salihin pada minit ke-32 di depan pintu gol menewaskan penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Tersentak dengan jaringan itu, NSFC bangkit dengan jaringan pertama pasukan oleh Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi selang empat minit kemudian, dan pada babak kedua perlawanan, NSFC lebih menguasai permainan dengan hantaran bola dan larian pantas Selvan Anbualagan namun penyudah yang tumpul di bahagian serangan menyukarkan tuan rumah mencipta jaringan.

Rembatan kencang pemain gantian Mohd Hafiz Ramdan untuk gol penyamaan pada minit ke-71 menaikkan semangat NSFC tetapi Kelantan United kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti yang  disempurnakan kapten pasukan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-80.

Bagaimanapun, Filemon Anyie Standly berhasil menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk memastikan tuan rumah tidak pulang dengan tangan kosong.- Bernama

BERITA LAIN

Zii Jia juara Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meraih gelaran kedua musim ini selepas  merangkul kejuaraan Terbuka Australia 2024 dengan menewaskan wakil Jepun

Faisal Halim ibarat pecahan yang hilang — Nidzam

KUALA LUMPUR: Suasana emosi menyelubungi bilik persalinan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU