Trending

Sabah catat hampir 1 juta pelancong dalam lima bulan pertama tahun ini

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SANDAKAN: Sabah mencatatkan sebanyak 988,680 ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, meningkat kira-kira 77.1 peratus berbanding 558,169 pelawat bagi tempoh sama pada tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, perkembangan itu jelas menunjukkan sektor pelancongan di Sabah terus bertumbuh kukuh tahun ini dan untuk masa akan datang.

“Justeru, kerajaan negeri terus berusaha untuk memulihkan dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai program pada tahun ini.

Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan negeri Sabah.

“Daripada 988,680 pelawat yang datang, sebanyak 282,450 ialah pelancong antarabangsa manakala 706,230 pelawat tempatan dengan anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.02 bilion dijana dari Januari hingga Mei 2023,” katanya pada Pelancaran Festival Sandakan di Padang Bandaran Sandakan di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri negeri.

Hajiji memberitahu kerajaan negeri menjangkakan ketibaan 2.2 juta pelancong ke Sabah tahun ini, yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri komited merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara.

“Pelbagai usaha diambil adalah ke arah menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia, sama ada untuk pelancong domestik atau lebih-lebih lagi untuk para pelancong dari luar negara,” katanya sambil menambah setakat 1 Ogos lepas, terdapat 122 penerbangan antarabangsa ke Sabah setiap minggu, manakala 353 penerbangan domestik.

Berkenaan program itu, Ketua Menteri berkata Festival Sandakan 2023 bertemakan “Jom Jelajah Sandakan” diberi perhatian dan keutamaan sebagai antara usaha untuk menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah selepas pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lepas.

Katanya, sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri dan Lembaga Pelancongan Sabah, membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan padu khusus untuk memajukan industri pelancongan di negeri ini.

Walaupun ketika ini tiada data ketibaan pelawat mengikut daerah tersedia, Hajiji berkata bilangan pengunjung ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok sebagai tarikan utama di Sandakan boleh dijadikan indikator atau penunjuk, yang mencatatkan kedatangan sebanyak 56,794 orang membabitkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa dari Januari hingga Jun lepas. 

“Justeru, saya berharap seluruh warga Sandakan terus memberi sokongan penuh agar festival pada tahun ini akan menjadi titik tolak bermulanya transformasi terhadap industri pelancongan di daerah ini,” katanya.  – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru